Celik IT

Artikel berkaitan Keselamatan ICT / Tutorial Perisian / Tips & Tricks / Infografik dll.

(0 votes)

Kenali ‘Tetamu Tidak Diundang’ di dalam PC Anda

“PC saya slow !!”

“Nak bukak word, Excel lambat !! ”

“Nak buka itu ini semuanya lambat !!” ..

“Susahnya nak buat kerja.. pc ni .. nak mohon pc barulah…”

Apakah yang anda lakukan sekiranya anda melalui antara situasi di atas?

Adakah anda terus menyalahkan rangkaian yang perlahan, pc anda yang telah lama atau server yang perlahan ?

Adakah anda tahu apakah yang menyebabkan situasi di atas berlaku?

Cuba anda bayangkan, lebuhraya ke utara pada musim perayaan dan highway yang sama pada hari-hari kerja yang biasa. Adakah situasinya sama pada 2 masa yang berbeza tersebut?

Jawapannya tentulah tidak.. Lebuhraya dengan kapasiti yang sama akan jadi penuh sesak dengan kenderaan yang banyak pada musim-musim perayaan utama, sebaliknya ia akan lengang pada hari-hari biasa. Sekiranya kita memandu ketika kesesakan tentulah kita tidak boleh memandu dengan kelajuan 100km/j , kemungkinan hanya 30 hingga 40km/j sahaja. Tetapi sebaliknya, kita boleh memandu dengan kelajuan 120km/j ataupun lebih sekiranya highway tersebut lengang.

Begitulah gambaran dalam trafik rangkaian di pejabat anda. Rangkaian komputer yang anda gunakan dikongsi dengan semua pengguna rangkaian. Sebesar manapun kapasiti rangkaian yang ada tetapi sekiranya trafik rangkaian digunakan dengan tidak berhemah dan dipenuhi trafik yang ‘jahat’ , maka capaian rangkaian dari komputer kita akan menjadi perlahan.

Dari mana datangnya trafik yang ‘jahat’ ini ?

‘Malicious code’ atau kod jahat merupakan ancaman kepada sebuah komputer dan akan memberi kesan kepada kesejahteraan rangkaian komputer anda. Terdapat banyak jenis kod jahat yang berniat merosakkan contohnya virus, worm, trojan, backdoor , bot dan banyak lagi. Ia dicipta untuk memusnahkan, mengganggu, mencuri atau secara umumnya akan menyebabkan kesan buruk kepada data, host atau rangkaian setempat. ‘Kod jahat’ ini boleh manghasilkan trafik rangkaian yang jahat dan akan sesakkan lalulintas trafik setempat anda.

Andaikan pc anda seperti rumah. Rumah tanpa kawalan keselamatan contohnya tiada pagar, tiada jeriji pintu dan tingkap serta tiada sistem penggera keselamatan akan terdedah kepada ‘tetamu yang tidak diundang’. Oleh yang demikian, anda harus mengambil langkah-langkah keselamatan dan pencegahan untuk memastikan pc anda selamat daripada ancaman kod jahat yang seterusnya akan menyebabkan gangguan kepada lebuhraya trafik rangkaian anda.

Antara langkah keselamatan utama dan penting yang perlu anda lakukan ialah memastikan pc anda menggunakan kata laluan yang kukuh , memastikan pc anda dipasang dengan perisian antivirus yang sah dan aktif serta sentiasa mengemaskini perisian anda dengan patches terkini terutamanya bagi pengguna windows dan Internet Explorer.

Moga anda semua mendapat sedikit kefahaman tentang keselamatan di alam siber dan menjaganya supaya rangkaian komputer sentiasa berada dalam keadaan yang sejahtera. Pada siri-siri akan datang kami akan kongsikan jenis-jenis kod jahat dan bagaimana melindungi pc kita dari ancaman-ancaman siber yang disebutkan di atas.

 

Sumber: Wadah ICT, UKM

Read 1643 times Last modified on Thursday, 16 November 2017 08:07
Administrator

Unit Teknologi Maklumat & Komunikasi, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah.